Ticker

6/recent/ticker-posts

Larang buka kedai online di FB, IG: Keputusan Meta beri kesan minimum kepada usahawan Malaysia

 



Keputusan Meta Platforms Inc (Meta) melarang perniagaan di Asia Pasifik (APAC) mempunyai kedai dalam talian seperti di Facebook (FB) atau Instagram (IG), hanya memberi kesan minimum kepada usahawan Malaysia yang aktif berniaga menerusi platform terbabit.


Pengumuman itu dibuat Khamis lalu oleh pemilik platform media sosial FB dan IG terbabit bersama larangan menggunakan penandaan produk dalam hantaran, berkuat kuasa 10 Ogos 2023.


Larangan itu bagaimanapun dikecualikan di tujuh pasaran, iaitu Australia, Korea Selatan, Taiwan, India, Jepun, Indonesia dan Thailand.


Ketua Pegawai Eksekutif Kartel Digital Sdn Bhd, Hafiz Azman, berkata langkah Meta itu membayangkan bahawa semua perniagaan berdaftar di Malaysia tidak lagi dapat menggunakan ciri-ciri Kedai FB dan IG untuk menjalankan urus niaga jualan.




Bagaimanapun, pengusaha syarikat perunding e-dagang itu, memaklumkan kebanyakan usahawan perniagaan dalam talian di Malaysia tidak menggunakan ciri-ciri Kedai FB atau IG berikutan dasar yang ketat di platform terbabit.


"Majoriti penjual dalam talian tempatan mendapati sukar untuk mematuhi ciri-ciri teknikal yang kompleks untuk mengehoskan kedai mereka di FB dan IG kerana urus niaga diuruskan dan diproses oleh Meta, bukan secara langsung oleh penjual.


"Bagaimanapun, mereka masih boleh menggunakan platform pengiklanan Meta untuk menarik trafik, kesedaran dan jualan ke platform pilihan mereka seperti laman web mereka sendiri dan platform media sosial lain," katanya.


Hafiz berkata, penjual tempatan juga masih ada akses untuk mengakses kemudahan yang ditawarkan oleh gergasi media sosial dan teknologi seperti Tiktok dan Google, selain Twitter yang turut membantu meningkatkan perniagaan di Malaysia.


Menurutnya, perniagaan dalam talian, terutamanya yang mempromosi produk dan perkhidmatan di media sosial perlu juga mempunyai laman web rasmi untuk membantu mereka mengalih trafik dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenama masing-masing.




"Memiliki laman web atau platform dalam talian sendiri memberikan lebih banyak kebebasan kepada mereka untuk mengawal perniagaan dan meraih kepercayaan pasaran terhadap produk dan perkhidmatan mereka.


"Media soial sekadar kaedah untuk memacu trafik kepada perniagaan mereka. Dengan membuka laman web atau platform dalam talian sendiri, mereka akan berkembang maju dan terus bertahan," katanya.


Kartel Digital ialah Rakan Kongsi Shopify Bertauliah, melatih bakal usahawan dan jenama untuk menubuh dan mengembangkan perniagaan mereka menggunakan teknologi e-dagang dan pemasaran digital. - BERNAMA

Post a Comment

0 Comments