Ticker

6/recent/ticker-posts

Duda Dicekup Masuk Rumah Bini Orang Larut Malam Ketika Suami Kerja Outstation

 



Oleh Mynewshub


KLUANG – Seorang lelaki berstatus duda bersama seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap dalam serbuan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Taman Sri Impian, awal pagi semalam.


Dalam serbuan sekitar jam 12.30 malam itu, penguat kuasa mendapati pasangan berusia lingkungan 40-an berada berdua-duaan dalam rumah wanita berkenaan, manakala anak perempuan wanita itu yang masih kecil sedang tidur di salah sebuah bilik.


Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan memberikan alasan kononnya hanya datang untuk menghantar makanan. 


Bagaimanapun, helah tersebut gagal mengaburi pihak berkuasa apabila disahkan dia bukan pekerja penghantaran seperti GrabFood atau foodpanda.


Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan merupakan jiran setaman dan mengenali wanita terbabit ketika berjoging di sekitar tasik berhampiran taman kira-kira setahun lalu. 


Hubungan mereka kemudiannya berlanjutan melalui aplikasi WhatsApp sehingga menjadi pasangan kekasih dalam diam tanpa pengetahuan suami wanita tersebut.


Difahamkan, lelaki itu datang menaiki motosikal dan meletakkannya di kawasan jauh dari rumah wanita berkenaan. 


Ketika serbuan dilakukan, suami wanita itu sedang bertugas di luar kawasan (outstation) selama beberapa hari.


Lelaki terbabit turut cuba melarikan diri melalui pintu belakang, namun cubaan tersebut gagal apabila dua orang penguat kuasa sudah bersedia menunggu di situ.


Serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang diterima 45 minit lebih awal sebelum pasukan penguatkuasa tiba di lokasi. 


Kes kini disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Johor. - MYNEWSHUB

Post a Comment

0 Comments