Penjara Wilayah Narathiwat menafikan khabar angin penyanyi dikir barat moden, Eda Ezrin, yang ditahan di sini sejak November tahun lalu, memfailkan perceraian terhadap suaminya yang turut ditahan di fasiliti sama.
Pengarah Penjara, Surin Chantep berkata, penyanyi berusia 30 tahun itu tidak membuat sebarang permohonan fasakh, bertentangan dengan dakwaan yang tular baru-baru ini.
"Kami tidak menerima sebarang permohonan sedemikian daripada Eda Ezrin. Ini hanyalah khabar angin tidak berasas, malah saya sendiri hairan bagaimana ia bermula kerana dia tidak pernah menyatakan hasrat sedemikian," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Surin berkata, ibu kepada dua anak itu berada dalam keadaan sihat dan bersemangat, terutama selepas bertemu anak-anaknya minggu lalu.
"Untuk makluman keluarga dan peminatnya, pihak penjara membenarkan dia bertemu dengan suaminya yang berusia 30 tahun sebulan sekali pada setiap Rabu.
"Pertemuan selama 20 minit itu dipantau oleh seorang pegawai penjara," katanya.
Khabar angin mengenai rancangan Eda Ezrin untuk memfailkan permohonan itu tersebar dalam kalangan peminat dan ahli keluarganya baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Surin berkata, pihak penjara baru-baru ini menganjurkan acara khas 'Bersama Keluarga' yang membolehkan banduan Malaysia bersatu semula dan meluangkan masa bersama orang tersayang dalam pertemuan bersemuka yang jarang berlaku.
Katanya, inisiatif yang diadakan dua kali setahun itu bertujuan menyokong kesejahteraan emosi banduan dengan memberi mereka peluang untuk makan, berbual dan berhubung semula dengan ahli keluarga dalam suasana yang lebih santai.
"Acara terbaharu untuk tahun ini adalah dari 21 hingga 25 Julai lalu, dan hampir 20 keluarga banduan, termasuk saudara-mara Eda Ezrin, dibenarkan melawat di bawah program ini.
"Inisiatif ini memberi peluang kepada banduan untuk bertemu secara fizikal dan makan bersama ahli keluarga mereka, dan ia memainkan peranan besar dalam proses pemulihan mereka," katanya.
Beliau berkata, acara itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Parlimen, Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Thailand, Kamonsak Leewamoh.
Eda atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, dan rakan, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, sudah berada di penjara hampir sembilan bulan.
Sebelum ini, mereka didakwa memiliki sebanyak 6,059 pil methamphetamine ketika ditahan di sebuah hotel.
Pada Mac lalu, Mahkamah Narathiwat mendapati mereka tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil terbabit dengan niat untuk menjual, namun pihak pendakwaan Thailand dibenarkan untuk mengemukakan rayuan.
Rayuan berkenaan ditangguhkan sebanyak empat kali dan tempoh lanjutan terkini selama sebulan dijangka berakhir pada 6 Ogos ini.
Sumber : Harian Metro
0 Comments