Ticker

6/recent/ticker-posts

Agong boleh tamatkan keraguan dengan arah Muhyiddin buktikan majoriti, kata Shafie Apdal

 


Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu boleh mengarahkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan majoritinya di Parlimen bagi menamatkan keraguan berhubung keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Mohd Shafie Apdal.


Dalam wawancara bersama Malaysiakini, presiden Warisan itu berkata ia merupakan satu-satunya cara yang tinggal, selepas pihak yang mengendalikan Parlimen telah menyekat usul tidak percaya terhadap Muhyiddin daripada dibentangkan.


"(Pada masa ini pertukaran kerajaan) tak boleh dilakukan di Parlimen. Nak buat undi tak percaya pun tak boleh kerana sidang tak benarkan. Ini kerana speaker tak benarkan ia dibentangkan.


"Jadi, macam mana kita nak tahu (jika kerajaan ada majoriti atau tidak) selagi tiada usul agenda (usul tidak percaya) diterima?

"Caranya hanya Yang di-Pertuan Agong kata (nak lihat) bukti yang nyata (berkenaan majoriti Muhyiddin)," katanya dalam wawancara semalam.


Keabsahan kerajaan PN menjadi persoalan selepas beberapa ahli parlimen daripada gabungan pemerintah mengisytiharkan mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, yang diketahui hanya memiliki majoriti tipis semenjak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Mac 2020.


Bagaimanapun, usaha untuk membuatkan Muhyiddin membuktikan sokongan majoriti di Dewan Rakyat belum berjaya, terutama kerana yang dipertuanya Azhar Harun - yang dipilih oleh Muhyiddin - meletakkan usul tidak percaya di bahagian belakang aturan mesyuarat. Ia akhirnya tidak pernah dibentangkan.


Menurut Shafie, terdapat banya contoh di mana raja bertindak untuk pemimpin pentadbiran membuktikan sokongan yang diterimanya.


Dia membangkitkan krisis perlembagaan di Perak pada 2009, yang berakhir dengan Sultan Perak menerima menghadap Adun sebelum memutuskan menteri besar ketika itu, Mohd Nizar Jamaluddin tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ahli DUN.


Katanya lagi, pergelutan kuasa juga berlaku di United Kingdom selepas David Cameron meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.


Ketika itu, katanya, Theresa May dan Boris Johnson tidak mempunyai majoriti sokongan yang jelas di Parlimen.


"Ia menyebabkan Queen Elizabeth campur tangan, di mana dia arahkan Parlimen untuk buat keputusan walaupun dengan kerajaan minoriti.


"Begitu juga di Tunisia (sekarang). Walaupun ia adalah kerajaan minoriti, tetapi kerajaan berfungsi dengan baik," katanya lagi.


Bagi bekas ketua menteri Sabah itu, sangat penting untuk sebuah kerajaan stabil menggantikan PN, yang didakwanya telah gagal menguruskan negara di tengah-tengah wabak Covid-19.



Semua pihak dalam pembangkang juga sependapat dalam perkara itu, katanya.


Shafie mencadangkan kerajaan sementara yang bersatu dan stabil untuk mentadbir negara sehinggalah keadaan sudah cukup selamat untuk memulangkan mandat kepada rakyat.


"Apa yang penting adalah keyakinan rakyat kepada pemerintah dan pemimpin yang ada. Hari ini mereka tidak yakin dengan PN.


"Jika kepentingan rakyat dan negara jadi keutamaan, maka kita akan berjaya lahirkan satu pemerintahan yang kita kata sebagai (kerajaan) perpaduan, bersifat sementara. Sehingga sama ada enam bulan atau setahun, atau sehingga tempoh (penggal Parlimen) habis.


"Keutamaan adalah untuk atasi masalah C0vid-19. Selepas itu bila cukup orang yang divaksin, adakan PRU. Rakyat menentukan siapa yang berkuasa," katanya lagi.

Sumber : MALAYSIAKINI

Post a Comment

0 Comments