Ticker

6/recent/ticker-posts

Fatin Afeefa Tak Tolak Andai Ada Jodoh Dengan Noki

 




Andai jodoh sudah tiba, pelakon sensasi, Fatin Afeefa, 27, tidak menolak kehendak takdir. Tidak sesekali menutup pintu hati terhadap insan bernama lelaki, namun cinta bukan segala-gala buatnya.


Dan, persoalan hati bukan lagi topik yang akan dikongsinya secara terbuka. Selagi boleh disimpan, segala suka duka dilalui akan terus tersimpul kemas di sudut hati.


Namun, cinta sememangnya indah dan wangi untuk disulam, namun ia belum tentu menjanjikan kebahagiaan.


Sejak bahtera perkahwinannya menjunam ke lautan sepi, Fatin atau nama sebenarnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki, namun segala-galanya belayar begitu sahaja.


Kini, kemesraan bintang yang pernah mencetuskan fenomena menerusi filem Tentang Bulan bersama anggota kumpulan Hip Hop popular, K-Clique iaitu Noki menjadi bualan ramai.


Saling berbalas komen dan kelihatan mesra ketika bersiaran menerusi Live Instagram (IG) seakan memberi bayangan hubungan yang terjalin bukan berlandaskan seorang teman.


Spekulasi semakin hangat diperdebatkan apabila dilihat keluar makan bersama.


Meskipun tiada sebarang pengesahan, namun dari bahasa tubuh dan renungan mata seolah-olah menterjemahkan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.



Enggan terus berteka-teki, BH Online mendekati Fatin dan mendasari hatinya berhubung gosip panas yang hangat diperkatakan.


Tergelak besar di hujung talian saat diajukan persoalan adakah sedang dilamun cinta, Fatin menjelaskan, mungkin jawapannya agak klise, tetapi itulah hakikatnya. Perhubungannya dengan Noki hanya berpaksikan 'teman tapi mesra'.


"Mungkin ramai tidak tahu, saya sudah lama mengenali Noki. Hubungan jadi rapat selepas ada perancangan berkolaborasi.


"Namun, projek kolaborasi ini tidak dapat diteruskan disebabkan karya ciptaan Noki tidak bersesuaian dengan jiwa saya. Biarpun projek tertangguh, namun tidak salah sekiranya kami berkawan baik.


"Ramai salah faham dan anggap saya dan Noki menjalinkan hubungan istimewa kerana pernah melihat kami keluar makan bersama. Persepsi mereka juga berdasarkan komen yang saya tinggalkan dalam IG Noki.


"Bagaimanapun, ia bukan bermakna saya dan Noki bercinta," katanya kepada BH Online.




Wanita kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui, dia memang suka beri komen bentuk emoji pada mana-mana perkongsian yang melintas dalam garis masa IG.


"Saya bukan sahaja komen dalam IG Noki, malah ada teman-teman artis lain juga.


"Saya hairan juga kenapa netizen hanya nampak komen yang ditinggalkan dalam IG Noki, tetapi dalam IG rakan artis lain tidak pula dihiraukan," katanya sambil ketawa.


Sepanjang mengenali jejaka kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, pelakon yang memulakan kerjaya seni pada usia 8 tahun itu mengakui, Noki seorang lelaki yang baik.


"Saya selesa dengan sikap Noki. Dia bukan sahaja kawan yang baik, malah pandai menjaga hati saya.


"Jujurnya, Noki memiliki sifat yang lelaki yang saya cari iaitu lembut dalam berbicara.


"Noki juga pendengar yang baik. Jika saya ada masalah, saya akan cari Noki mengadu dan mendapatkan nasihat," katanya.


Disebabkan gosip, Fatin mendedahkan, dia menerima mesej peribadi berbaur ugutan peminat wanita Noki.


"Ada peminat menghantar mesej memberi amaran agar saya tidak menyakiti hati Noki. Saya membalas mesej dan berjanji akan menjaga hati Noki sebaiknya.


"Selain itu, saya kerap mendapat mesej yang mendoakan agar saya dan Noki ditakdirkan bertemu jodoh.


"Jika peminat mendoakan yang baik-baik, saya terima dengan hati terbuka," ujarnya.


Empat tahun menjalani hidup bersendirian tanpa ditemani seorang lelaki bergelar suami, Fatin berkata, dia tidak melihat situasi sebagai satu tekanan.


Malah, pelakon drama Asalkan Dia Bahagia dan The Gadis itu tidak pernah hidup kesunyian.


"Saya selesa hidup sendirian. Saya boleh fokus dengan kerjaya di samping membesarkan dua cahaya mata. Walaupun ramai beranggapan hidup saya sunyi tanpa suami, namun hakikatnya, saya tidak sempat sunyi.


"Bohonglah jika dikatakan tiada lelaki cuba mendekati, tetapi saya banyak menolak. Saya tidak bersedia untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup.


"Bukanlah serik, tetapi saya lebih selesa kehidupan bebas yang dilalui. Jika berkahwin, seterusnya melahirkan anak, bagaimana saya mahu fokus terhadap kerjaya lakonan yang baru kembali semula," luahnya.


Fatin bersama dua permata hatinya, Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia. - Foto IG Fatin Afeefa

Fatin bersama dua permata hatinya, Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia. - Foto IG Fatin Afeefa

Andai ditakdirkan jodoh kembali bertandang, Fatin menekankan, dia mendambakan lelaki yang bakal menjadi teman sehidup sematinya bukanlah seorang yang berkira.


"Jika ada lelaki yang ingin menjadikan saya calon isteri, dia perlu menepati ciri-ciri diharapkan. Paling penting, bukan lelaki yang kedekut dengan isteri.


"Kalau terlalu berkira, maknanya 'good bye'. Saya juga bukannya wanita materialistik.


"Apa yang saya harapkan adalah limpahan kasih sayang daripada seorang suami," ungkap Fatin menterjemahkan isi hatinya.

Sumber : BH Online

Post a Comment

0 Comments