Header Ads

Breaking

Wednesday, September 15, 2021

Ini identiti saya, terpulanglah suka atau tidak, kata Kelly Azman

 



Kembali bersiaran, program All Together Now Malaysia (ATNMY) yang ditayangkan di saluran Astro Ria Sabtu lalu mula mendapat perhatian penonton setelah terpaksa ditangguhkan sementara waktu berikutan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).


Kemeriahan program itu juga menyorot mata umum kepada barisan juri yang terlibat antaranya Kelly Azman, yang sekali lagi menjadi buah mulut ramai menerusi penampilan peliknya.


Dikecam kerana penampilan yang dianggap tidak kena dan menyakitkan mata, Kelly mengaku sedar imejnya itu mungkin tidak akan disukai semua orang namun berpegang kepada prinsip bahawa itu adalah identiti dirinya.


“Saya bukan nak pelik-pelik daripada orang lain atau nak menyerlah sangat pun. Itu adalah identiti diri saya sebagai seorang penghibur. Apabila berada di pentas dan di bawah lampu sorot, saya haruslah nampak bersiap dan setengah orang mungkin menganggap nampak lain dari yang lain.


“Itu semua untuk kepuasan diri dan kata orang, sedap mata memandang saja,” katanya.


Kelly berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia semalam bagi mengulas beberapa teguran dan kecaman daripada netizen di ruangan media sosial yang menyentuh mengenai penampilan dan imej peliknya dalam program tersebut.



Selain itu, menurutnya lagi, ini juga bukan caranya untuk menempah tiket populariti kerana tugasan yang diberikan menerusi ATNMY itu dilakukan atas dasar satu tanggungjawab.


“Saya bukan nak mengejar populariti. Ini bidang yang saya ceburi sudah lama. Pada semua mulut-mulut yang mengata saya atau apa, tak mengapa, saya abaikan sahaja. ITu hak mereka untuk berkata,”katanya.


Dalam pada itu, penyanyi lagu No No No ini juga sedar sudah ramai yang mula mencari gali latar belakang dirinya dalam industri sementelah tidak berpuas hati dengan kehadirannya dalam program tersebut.


Bagaimanapun, Kelly tidak mengambil pusing dengan perkara seperti itu dan baginya jika ada yang menghentam dan mengkritik caranya menyanyi sekali pun, ia berbalik kepada faktor dirinya seorang penghibur.


“Saya pernah cakap sebelum ini apabila ditanya pihak media yang diri ini bukan penyanyi profesional. Saya mengaku itu.


“Saya adalah seorang penghibur yang mempunyai karektor dan cuma mahu menghiburkan orang. Saya tahu kemampuan vokal saya macam mana dan secara peribadi, apa yang dipersembahkan kepada penonton itu hanya semata-mata untuk menghiburkan mereka,” katanya.



Selain Kelly, terdapat 49 juri ATNMY yang diberi amanah untuk memilih peserta yang terbaik dalam program itu.


Juri lain yang terbabit seperti Datuk AC Mizal, Siti Nordiana, Zizan Razak, Jaclyn Victor, Tuju K-Clique, Liza Hanim, Kaka Azraff dan ramai lagi.


ATNMY adalah program realiti yang diadaptasi daripada format antarabangsa popular All Together Now yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.


Program ini turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format berkenaan diadaptasi semula di serata dunia termasuk Australia, Russia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland dan Perancis.


Malaysia adalah negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan. ATNMY masih mengekalkan format asal program berkenaan.


Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

Kredit : Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.