Ticker

6/recent/ticker-posts

3.6 juta ahli ada kurang RM1000, 6.1 juta lagi kurang RM10,000 dalam simpanan KWSP, kata Kementerian Kewangan

 


Seramai 3.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) direkodkan mempunyai simpanan kurang RM1,000, manakala 6.1 juta lagi kurang RM10,000.


Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pandan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Kementerian Kewangan berkata, punca utama keadaan itu adalah berikutan pengeluaran bernilai RM101 bilion susulan inisiatif i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.


Katanya, kejatuhan jumlah simpanan itu lebih merisaukan bagi ahli Bumiputera memandangkan 78 peratus atau lebih tiga perempat yang memohon untuk fasiliti pengeluaran berkenaan.


Akibatnya, seramai 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, manakala 2 juta atau 25 peratus lagi mempunyai kurang daripada RM1,000.



"Pengagihan simpanan menjadi semakin tidak saksama. Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP, merangkumi lebih kurang 5 juta ahli telah menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.


"Kumpulan 40 peratus pertengahan turut mengalami kejatuhan sebanyak 18 peratus kepada RM155 bilion atau baki median sebanyak RM24,995.


"Hanya kumpulan 20 peratus teratas berusia bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043 atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk 20 tahun," katanya.


Mengulas lanjut, katanya, KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun secara tambahan bagi membina semula simpanan dikeluarkan semasa pandemik.



Ini mengakibatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli mencapai Simpanan Asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun, berbanding 36 peratus pada 2020, kepada kira-kira 27 peratus, hujung tahun ini.


"Kerajaan bersama KWSP sedang berusaha membantu ahli membina semula simpanan mereka demi masa depan persaraan.


"Pendirian kerajaan kekal dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial untuk Keluarga Malaysia, termasuk melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia seperti diumumkan dalam Bajet 2020.


"Dalam memperkasa agenda perlindungan sosial, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia dipengerusikan Perdana Menteri, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara," katanya.


Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments