Ticker

6/recent/ticker-posts

Anis Sofea amat sempurna, sayalah lelaki paling bahagia di dunia ini, kata Haqiem Rusli

 


Semalam secara rasmi penyanyi terkenal negara, Haqiem Rusli telah meninggalkan status sebagai bujang apabila dengan dua kali lafaz, dia sah bergelar bergelar suami kepada pilihan hati, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19, pada majlis tertutup patuh prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah.


Tampil segak mengenakan persalinan baju Melayu rona kelabu, Haqiem atau nama sebenar, Ridzuan Haqiem Rusli dan Wan Anis Sofea selamat diijabkabulkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Ustaz Zamzuri Ruslan dengan disaksikan keluarga dan rakan terdekat.


Pada majlis itu, rombongan pengantin lelaki menyerahkan wang hantaran bernilai RM100,000 dan mas kahwin RM300 serta lima dulang hantaran berbalas lima dulang daripada pengantin perempuan.


Berkongsi perasaan sebaik bergelar suami, Haqiem meluahkan rasa syukur kerana Tuhan menghadirkan peneman hidupnya hingga ke akhir hayat.



"Alhamdulillah, sayalah lelaki paling bahagia ketika ini kerana ada seseorang yang bukan sahaja menjadi peneman hidup, malah, berkongsi suka dan duka bersama.


"Dia (Anis Sofea) amat sempurna. Saya sangat senang dengan sikap, budi pekertinya yang lemah lembut dan keterampilannya berjaya menambat hati saya untuk memilikinya," katanya.


Sementara itu, Wan Anis Sofea atau lebih mesra disapa Sofea mengakui penyanyi lagu Mimpi dan Tergantung Sepi itu memiliki kriteria yang tepat untuk dijadikan suami.


"Sifatnya yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti menjadikan saya jatuh hati kepadanya," katanya.


Malam ini, pasangan mempelai ini akan diraikan pada majlis resepsi bertemakan Raikan Cinta di Langit Asmara di skyGlass Cyberjaya, di sini.



Majlis resepsi berkonsepkan perkahwinan dalam taman yang dibuat secara tertutup itu bakal dihadiri 200 tetamu termasuk keluarga, kenalan rapat, rakan selebriti serta media.


Perkenalan pasangan sama cantik sama padan ini bermula sebagai rakan kongsi perniagaan dua tahun lalu apabila mereka membuka restoran 'steam bot' sebelum pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu memutuskan untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya.


Mei lalu, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 33 ini mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga menerusi siaran langsung di Instagram (IG) pada jam 2 pagi.


Pada malam kemuncak ABPBH 34 Sabtu lalu, Haqiem mengumumkan pernikahannya hari ini bagi mengambil keberkatan Jumaat sebagai penghulu hari.

Sumber : Berita Harian

Post a Comment

0 Comments