Ticker

6/recent/ticker-posts

Zahirah Macwilson Nak Cari Maid, Akui Sibuk Jaga Anak Punca Badan Susut

 


HAMPIR setahun berehat daripada bidang lakonan kerana mahu menumpukan perhatian terhadap anak, pelakon Zahirah MacWilson memberitahu sudah tiba masanya untuk dia kembali bekerja.


Zahirah atau nama sebenarnya, Nur Zahirah MacWilson Zainol Johari MacWilson, 26, berkata, dia dalam perancangan untuk mencari pembantu rumah yang sesuai dan bertanggungjawab dalam membantu dirinya menjaga anak lelakinya, Isaac Raees yang kini berusia 11 bulan.


"Isaac sekarang dah nak masuk 11 bulan dan sudah mula nak berjalan-jalan, bercakap serta berinteraksi dengan orang. Saya nak je berlakon semula, cuma tak ada orang nak jaga Isaac.


"Sekarang ni saya menjaga Isaac dengan nenek di rumah. Saya juga sedang mencari pembantu rumah, sebab tak dapat nak buat semua benda.


"Kalau dah jumpa nanti, mungkin saya akan cuba bawa Isaac bersama sebab tak mahu la bergantung 100 peratus dengan pembantu rumah. InshaAllah bila sempadan negara dibuka semula, saya nak bawa ibu ke Malaysia untuk menjaga Isaac sekejap," katanya kepada mStar.


Zahirah berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi untuk Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM 31) di Hotel Royal Chulan The Curve, Mutiara Damansara, pada Rabu.


Sementara itu, bercakap soal penampilannya yang semakin langsing tidak ubah seperti sebelum berkahwin, Zahirah berkata, dia tidak mengamalkan sebarang diet atau gaya hidup sihat.


Namun menurut Zahirah, berat badannya susut mungkin disebabkan terlalu sibuk menguruskan anak sulungnya.


"Ramai yang ingat saya bersenam, tetapi sebenarnya tidak. Saya tak amalkan diet mahupun sebarang senaman.


"Saya makan je semua benda, yang manis-manis pula tu. Rasanya kena jaga lepas ni takut kena kencing manis pula.


"Saya rasa jaga anak memang buat kita cepat turun berat badan sebab kadang-kadang sampai tak sempat nak makan," ujarnya.


Dalam pada itu, pelakon filem Bulan Dan Pria Terhebat itu juga meluahkan rasa bangga dengan pencapaian filem tersebut yang mendapat sambutan walaupun ditayangkan ketika negara sedang dilanda pandemiik C0vid-19.


Tambahnya lagi, dia gementar apabila mendapat tahu filem pertamanya itu dicalonkan untuk bertanding dalam FFM31.

Sumber : mStar Online

Post a Comment

0 Comments