Ticker

6/recent/ticker-posts

Air mata derita jadi peneman Herra

 


Ibu tunggal yang membesarkan seorang anak Austiisme terdesak mendapatkan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai tempat berteduh selepas tidak lagi mampu untuk membayar sewa bulanan rumah pangsapuri didiami kini.


Noor Herra Hardiana Badri, 37, berkata, ketika ini dia dan anaknya, Muhammad Danish Riza Hadi, enam tahun, menyewa di Flat Taman Sri Mawar, Senawang dengan bayaran RM450 sebulan.


Noor Herra berkata, dengan pendapatan tidak menentu menjual produk kesihatan secara dalam talian, dia sukar untuk menjelaskan sewa rumah berkenaan, malah terpaksa meminta bantuan daripada ibunya.


"Dalam sebulan, saya hanya dapat RM200. Namun, saya bernasib baik kerana dapat bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM300 dan dengan wang itulah saya gunakan untuk bayar sewa rumah sekarang.


"Untuk beli barang dapur kadang-kadang saya tidak mampu dan terpaksa pulang ke kampung di Triang, Pahang untuk mengambil barang basah, malah kerap meminjam telur dan bawang daripada jiran," katanya sejurus menerima kunjungan Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed di rumahnya.



Noor Herra Hardiana berkata, anaknya menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dan dia tidak boleh sewenang-wenangnya menukar tempat rawatan anak ke hospital lain kerana perlu menjalani prosedur rawatan dari awal.


"Disebabkan itu saya tinggal di Seremban walaupun berasal dari Triang kerana ia memudahkan saya untuk berulang-alik ke HTAN.


"Namun ketika ini saya susah untuk mencari pekerjaan tetap dan hanya berniaga dalam talian kerana perlu memberi tumpuan kepada Danish. Malah, saya sudah lima kali diberhentikan kerja kerana kerap mengambil cuti untuk menguruskan anak.


"Danish pula perlu minum susu khas dengan kos RM300 sebulan untuk perkembangan otaknya. Sudah tiga bulan saya tidak belikan susu untuknya kerana tidak mampu," katanya.



Noor Herra Hardiana berkata, sudah enam kali dia membuat surat rayuan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk mendapatkan rumah PPR.


"Saya masih berharap untuk dapat rumah PPR bagi meringankan beban. Dengan itu saya dapat mendaftarkan anak ke sekolah yang berdekatan dengan PPR berkenaan kerana anak Austisme seperti Danish sukar untuk menerima tempat yang berubah," ulasnya.


Orang ramai yang ingin membantu wanita ini berkenaan boleh menghubunginya di talian 010-5265316.

Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments