Ticker

6/recent/ticker-posts

Nenek mohon campurtangan PM, tiga cucu pintar tiada kad pengenalan

 


Seorang warga emas memohon bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyelesaikan ma­sa­lah taraf kewarganegaraan ti­ga orang cucunya.


Termah Kasim, 71, berkata, tiga orang cucu yang dijaganya Siti Nur Shakila Abdullah, 20, Siti Nur Nilam Sari, 18, dan Muhammad Haikal Idham, 12, masih belum mempunyai kad pengenalan walaupun kerap berulang alik berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Menurutnya, dia juga sudah tiga kali ke pejabat Kedutaan Indonesia bagi menyelesaikan status perkahwinan anaknya, Allahyarham Alwi Khamis bersama menantunya, Yuliani Abdul Ghani.



“Saya diberitahu cara untuk menyelesaikannya ialah mencari saksi perkahwinan yang dilangsungkan di Riau, Indonesia. Sudah terlalu lama dan menantu saya yang kini menetap di Palembang juga sudah tidak mampu mengingatinya.


“Kesemua cucu saya lahir di Malaysia, Siti Nur Shakila lahir di sebuah rumah kongsi di Ampang, Selangor, Nur Nilam Sari lahir di Hospital Selayang, Selangor dan Muhammad Haikal Idham lahir di rumah saya.


“Saya mohon agar Perdana Menteri dapat bantu kerana cucu-cucu saya ini cemerlang dalam pelajaran. Tanpa identiti warganegara, perbelanjaan adalah lebih tinggi memandangkan semua buku perlu dibeli sendiri serta yuran pengajian juga adalah bagi bukan warganegara,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Raden, Lubuk China, di sini, semalam.



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan ne­geri, Datuk Mohd. Taufek Abd Ghani berkata, usaha membantu tiga cucu Termah telah diusahakan lebih dua tahun, namun belum dapat diselesaikan.


Menurutnya, seperti mana Perdana Menteri berhasrat membantu Rohana Abdullah, 22, yang dijaga oleh ibu angkatnya Chee Hoi Lan, 83, di Kuala Lumpur, pihaknya juga berharap Termah turut dibantu.


“Urusan mendapatkan kad pengenalan bukan mudah kerana ia tertakluk kepada pengesahan bukti-bukti tertentu. Kami akan hantar surat rasmi kepada Perdana Menteri.


“Dalam kes dan keadaan-keadaan tertentu, budi bicara dan pertimbangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melihat isu ini,” katanya.


Sumber : Utusan


Post a Comment

0 Comments