Header Ads

Breaking

Wednesday, January 19, 2022

RM150 juta pembiayaan BSN MyRinggit-i Banjir diluluskan, kata Tengku Zafrul

 


Peruntukan bantuan pembiayaan mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada mereka yang terkesan banjir baru-baru ini dinaikkan kepada RM150 juta berbanding RM100 juta sebelum ini.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan menerusi pembiayaan peribadi BSN MyRinggit-i Banjir tersebut dinaikkan kerana mendapat sambutan baik daripada peminjam terjejas.


"Mula-mula seperti yang diumum Perdana Menteri, sebanyak RM100 juta diperuntukkan dengan peminjam terjejas boleh membuat pinjaman sehingga RM10,000, sifar peratus faedah dan moratorium enam bulan.


"Permintaan agak bagus dan sehingga kini kita telah luluskan RM150 juta kepada peminjam yang terjejas banjir," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Inklusif Bersama Menteri Kewangan di TV1 malam ini.



Pada Disember lepas, BSN menawarkan pembiayaan peribadi BSN MyRinggit-i Banjir yang dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM5,000.


Pembiayaan itu menawarkan kadar sifar peratus untuk tempoh pembiayaan 3.5 tahun termasuk moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa banjir di seluruh negara.


Selain itu, Tengku Zafrul berkata mangsa banjir juga menerima moratorium pinjaman kenderaan, rumah dan kad kredit daripada semua bank bagi menangguhkan pinjaman mereka.


Katanya bantuan berkenaan merupakan antara Pakej Bantuan Banjir yang disediakan setakat ini mencecah lebih RM1.4 bilion.



Ia termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), bantuan pembelian barang keperluan dan bantuan baik pulih rumah.


Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyatan hari ini memaklumkan sejumlah 74,285 atau 64.1 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir monsun timur laut (MTL) gelombang pertama menerima bayaran BWI setakat ini manakala 36,639 KIR lagi masih dalam proses pembayaran.


Bagi banjir gelombang kedua, sejumlah RM5.792 juta (54.4 peratus) BWI telah diagihkan.


Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan sejak 1998 hingga 2018, Malaysia mengalami 51 kejadian bencana alam dan sepanjang tempoh tersebut lebih tiga juta orang terjejas dan 281 terkorban manakala nilai kerosakan mencecah RM8 bilion.


Sumber : -- BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.