Ticker

6/recent/ticker-posts

Saya kini sedia bergelar isteri 'Mr H', kata Reen Rahim

 


Bakal disatukan dengan jejaka pilihan hati tidak lama lagi, pelakon Reen Rahim berharap bakal suami yang hanya dikenali sebagai 'Mr H' sedia menggalas tugas sebagai imam sepenuh jiwa.


Reen atau nama sebenar, Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, mengaku dia sudah bersedia menjadi suri hidup insan tersayang dan menempuh fasa baharu kehidupan.


Reen sedar tanggungjawab akan menjadi lebih mencabar, namun, dia dan bakal suami optimis menjalani fasa hidup berdua.


"Secara peribadi, saya bersedia menjadi isteri yang solehah dan mentaati suami.


"Bagaimanapun, dalam usaha untuk ke arah itu, saya berharap bakal suami juga perlu bersiap sedia untuk 'menjinakkan' saya," katanya kepada BH Online.


Mengulas mengenai karier seni selepas berkahwin, pelakon kelahiran Selangor itu mahu bekerja seperti biasa.

Reen berkata, dia dan bakal suami tidak sempat mengatur jadual untuk berbulan madu disebabkan kepadatan jadual kerja masing-masing.


"Kalau diikutkan selepas majlis itu nanti, saya masih sibuk dengan jadual kerja. Kami tidak sempat untuk berbulan madu dalam masa terdekat.


"Jika diikutkan perancangan untuk berkahwin dibuat lima bulan lalu. Bakal suami ajak kahwin di mana sebelum itu merisik dan bertunang sekali gus," katanya.


Tambah pelakon filem Daddyku Gangster itu, bakal suaminya tidak meletakkan sebarang syarat tertentu jika mahu menerima tawaran berlakon.


Namun, sebagai seorang wanita, Reen mahu konsisten menjaga batas diri.


"Sebagai perempuan, saya meletakkan batas ketika berlakon. Saya memang jaga soal itu.


"Semuanya bergantung kepada situasi sebab stesen televisyen (TV) sudah semakin bijak. Mereka lebih suka adegan tanpa bersentuhan tetapi ada rasa," katanya.


Seperti pelakon lain yang cenderung memperlahankan rentak selepas berkahwin, Reen bagaimanapun tidak bercadang mengambil langkah sama.


"Mungkin selepas berkahwin saya akan meneruskan kerjaya seni ini. Kalau saya memperlahankan rentak sekalipun, mungkin disebabkan faktor usia.


"Saya tidak risau perkara itu sebab perjalanan saya dalam industri seni sangat cantik. Saya percaya dengan aturan Allah.


"Kalau rezeki itu bukan dalam industri ini mungkin ada di tempat lain," katanya.


Reen berkata, persiapan menjelang hari perkahwinan sudah hampir siap biarpun dia masih belum bersedia mendedahkan identiti jejaka yang mencuri hatinya dan tarikh pernikahan.


Ogos lalu, Reen mengikat tali pertunangan dengan jejaka berusia 28 tahun selain mendedahkan majlisnya mendapat tajaan bernilai RM15 juta dalam pelbagai bentuk.

Sumber : Bharian

Post a Comment

0 Comments