Ticker

6/recent/ticker-posts

Mas Idayu tak layan desakan tak masuk akal netizen minta masuk GV

 


Kerana memberikan komen yang keras terhadap persembahan Sissy Iman dan Naim Daniel pada episod ke-enam program Famili Duo (TV3), juri tetap, Mas Idayu, terus menerima kecaman dari netizen di media sosial. 


Selain kritikan terhadap penilaiannya, ada juga netizen yang mencabar Mas untuk menyertai program nyanyian seperti Gegar Vaganza (GV) untuk membuktikan bahawa dia juga mampu menyampaikan pelbagai genre lagu dalam pertandingan tersebut. 


Menanggapi komen-komen tersebut, Mas atau Mas Idayu Mesnun, 51, berkata dia tidak takut untuk menyertai mana-mana pertandingan, tetapi pengalaman selama 38 tahun dalam industri lebih layak baginya untuk berada di kerusi juri.

"Bukan takut... itu bukan tahap saya... minta maaf! Pertandingan bukan tempat saya dah, sekarang tahap saya menjuri. Saya aktif menjuri. Sudah 38 tahun saya dalam industri dan sejak 16 tahun lalu saya jadi juri, sekarang ini baru saya terima kecaman paling tinggi.


"Seorang penyanyi atau guru vokal belum tentu boleh komen, jangan kerana tak puas hati dengan komen suruh saya masuk pertandingan. Yang duduk di kerusi juri itu tidak semestinya boleh menyanyi, pengalaman dia yang orang kena ambil," katanya ketika dihubungi mStar.


Sementara itu, penyanyi lagu Senggol Senggolan, Cubit Cubitan ini berpendapat penyanyi yang sudah berjaya mencipta nama tidak perlu memasuki mana-mana pertandingan nyanyian lagi.


"Mereka yang dah legend tak perlu suruh masuk pertandingan. Mereka yang dah ada nama, jangan jatuhkan maruah mereka untuk masuk pertandingan. Pertandingan hanya untuk mereka yang rasa diri mereka layak sahaja," katanya lagi.



Sementara itu, Mas menjelaskan bahawa tindakannya untuk menutup ruang komen di akaun Instagram miliknya adalah kerana dia tidak mahu membaca kecaman dari netizen. 


Namun, dia sanggup menerima semua kata-kata tersebut demi memastikan peserta di dalam Famili Duo dapat menunjukkan persembahan yang terbaik setiap minggu.


"Saya mengalu-alukan komen sesiapa sahaja yang nak memaki dan mencaci saya. Sejak beberapa hari ini saya banyak terima kata-kata kesat daripada netizen. Syukur Alhamdulillah, buatlah banyak-banyak lagi.


"Makilah mereka sebanyak mana sampai dia orang puas... sampai terputus dia orang punya bil telefon atau habis topup mereka. Paling penting, peserta Famili Duo bagus," ujarnya.


Mas bagaimanapun berkata dia tidak kisah jika ada peserta Famili Duo membenci dirinya namun berharap mereka bertahan sehinggalah program berkenaan berakhir.


"Saya harap peserta Famili Duo bertahan dahulu sampai habis program ini. Kalau selepas ini dia orang nak benci saya pun terpulang.


"Yang bagi markah saya dan juga Ajai, bukan netizen ataupun sesiapa yang berkokok dekat luar itu. Apa pun saya harap caci maki yang saya terima ini membuatkan Sissy Imann dan Naim Daniel lebih bersemangat sebab banyak yang sokong mereka ini," ujarnya.


Beberapa hari yang lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan kejadian Mas Idayu yang mengkritik cara nyanyian Sissy Iman dan Naim Daniel pada episod ke-enam Famili Duo. 


Kedua-dua penyanyi itu menyampaikan lagu Jampi dalam versi keroncong, namun Mas Idayu tidak menyukai persembahan tersebut dan berpendapat bahawa nyanyian mereka terlalu kasar untuk irama yang digunakan.

Artikel dipetik dari mStar Online

Post a Comment

0 Comments