Ticker

6/recent/ticker-posts

Perosak rumah tangga boleh dipenjara sehingga 3 tahun, denda RM5000

 


SHAH ALAM - Individu yang menjadi perosak rumah tangga atau menjadi orang ketiga dalam perkahwinan orang lain boleh berdepan hukuman penjara dan denda di bawah undang-undang syariah.


Peguam syarie, Noorazmir Zakaria berkata, walaupun undang-udang syariah berbeza setiap negeri dari segi nama dan nombor seksyennya tetapi dari segi kesalahan syariah dan hukumannya boleh dikatakan 90 peratus sama.


“Contohnya untuk di Selangor, ia dipanggil Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 manakala di Wilayah Persekutuan ia dipanggil Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.


“Di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, individu yang mengganggu keharmonian rumah tangga orang lain boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Sinar Ahad.


Noorazmir yang juga Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) menjelaskan, hukuman itu diperuntukkan di bawah tiga sesyen enakmen berkenaan membabitkan Sesyen 32 iaitu memujuk lari, membawa pergi atau mempengaruhi seorang perempuan yang telah bersuami supaya meninggalkan rumah tangganya.



Ia turut merangkumi Seksyen 33 iaitu menghalang pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 34 iaitu menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan kepada pasangan atau keluarganya.


Tambah beliau, kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan diperuntukkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman sama.


Bagaimanapun, Noorazmir memberitahu, berdasarkan pengetahuannya setakat ini di Malaysia masih tiada kes orang ketiga dan perosak rumah tangga yang didakwa ke mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.



“Saya pernah tanya dengan pegawai agama dan bahagian siasatan pendakwaan syariah dan mereka mengakui bila ada kes orang ketiga atau perosak rumah tangga, tak ada satu kes yang boleh dibawa ke mahkamah.


“Perkara ini berlaku disebabkan dua faktor utama iaitu kesukaran untuk membuktikan elemen kesalahan itu wujud dan yang kedua kerana dalam kes berkenaan ia lazimnya turut melibatkan ahli keluarga lain,” ujar beliau.


Mengulas lanjut, Noorazmir berkata, misalnya bagi kesalahan menghasut supaya bercerai dan mengabaikan kewajipan, pihak berkuasa dan bahagian pendakwaan menghadapi kesukaran mendapatkan bukti wujudnya hasutan itu.


Malah, katanya dalam sesetengah kes meskipun ada bukti hasutan, tidak dapat dibuktikan hasutan itu yang menyebabkan pasangan suami atau isteri mengabaikan kewajipan mereka kerana mereka mungkin tidak melaksanakan tanggungjawab dari awal lagi.


“Dalam kes-kes sebegini juga kebiasaannya ahli keluarga turut terlibat contohnya kalau ada orang ketiga menghasut hingga seseorang suami atau isteri mahu bercerai dan keluar rumah tapi jika ahli keluarga sendiri seperti ibu dan bapa bantu contohnya dengan ajak anaknya tinggal di rumah mereka, ia juga akan jadi susah,” tambahnya.


Susulan itu, Noorazmir mencadangkan agar prosedur pendakwaan kes berkenaan dapat dilonggarkan agar kes sedemikian dapat dibawa ke mahkamah walaupun dengan hanya bukti yang minimum.


Justeru, Noorazmir berkata, beliau melihat setakat ini undang-undang jenayah syariah di Malaysia masih tidak teruji sepenuhnya kerana tiada pendakwaan kes-kes melibatkan orang ketiga walaupun isu skandal dalam perkahwinan bukanlah perkara baharu.

Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments