Ticker

6/recent/ticker-posts

Surat rayu batal darurat telah dihantar kepada Agong, kata Anwar Ibrahim

 


Surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembatalan darurat telah dihantar semalam.


Itu jelas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai warkah beliau dalam usaha untuk memohon agar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini.



“Kita telah hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong semalam,” katanya menjawab pertanyaan media mengenai tindakan beliau untuk memohon membatalkan pengistiharan Proklamasi Darurat.


Minggu lalu, Anwar berkata beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli-ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam usaha untuk merayu baginda membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini.



Malah beliau turut memohon agar baginda membenarkan sidang khas Parlimen diadakan segera.


Dalam pada itu, Anwar berkata pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah usaha untuk menutup fakta bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah kehilangan majoriti.



“Saya percaya ini adalah alasan utama di mana kerajaan tidak stabil, kedudukan Muhyiddin tidak selesa lagi, dia sudah hilang sokongan majoriti.


“Pengumuman proklamasi darurat yang dibuat kerajaan membuktikan bahawa kerajaan telah hilang majoriti dan majoriti kini di pihak pembangkang,” katanya lagi.-malaysia gazette

Post a Comment

0 Comments