Ticker

6/recent/ticker-posts

Petani bingung dengan lambakan sayur, 1.5 tan timun terpaksa dibuang setiap hari

 


Dua beradik yang juga pengusaha timun, buntu selepas terpaksa membuang 1.5 tan hasil tanamannya setiap hari susulan berlaku lambakan dan tiada permintaan sayur berkenaan di pasaran.


Nik Azrin Nik Yaakub, 29, dan abangnya, Nik Izani Nik Yaakub, 46, kerugian hampir RM2,000 sehari apabila timun yang diusahakan mereka langsung tidak terjual sejak dua minggu lalu.


Keadaan itu menyebabkan berlaku lambakan dan pembaziran sayur walaupun mereka sudah mengambil inisiatif memberikan timun secara percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu.


Nik Azrin berkata, dia dan abangnya mula mengusahakan tanaman timun dan timun baby sejak tiga tahun lalu, dan berlaku pengurangan permintaan Januari tahun ini sebelum ia semakin teruk kebelakangan ini.


"Kami biasanya menghantar hasil tanaman berkenaan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu pada setiap pagi untuk dijual kepada pemborong, tetapi kini lambakan turut berlaku di sana kerana kekurangan pembeli.



"Apabila keadaan ini terjadi, secara tidak langsung harga timun turun mendadak kepada hanya 50 sen sehingga RM1 untuk sekilogram. Kami yang hanya mengharapkan kepada hasil tanaman juga hilang punca pendapatan.


"Sebenarnya, kami bukan hanya berdiam diri, sebaliknya cuba mencari inisiatif lain dengan menjual sendiri timun di kampung-kampung dan berniaga melalui dalam talian tetapi lambakan tetap berlaku," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pulai, Mukim Chicha Tinggi, di sini, hari ini.


Nik Azrin mengakui mereka turut mengusahakan tanaman Lada Solod sebelum ini, namun mengambil keputusan memberhentikannya seketika sejak Mei lalu kerana turut tidak mendapat sambutan di pasaran.



"Lebih memeritkan, kami terpaksa menghabiskan RM4,000 sebulan untuk kos baja dan racun bagi memastikan hasil timun yang dikeluarkan berkualiti tinggi.


"Tiada lain yang kami mahukan selain berharap agar pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi ini, kerana saya percaya bukan kami sahaja yang berdepan isu lambakan sayur tetapi rakan petani lain juga," katanya.


Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya menyediakan khidmat pemasaran bagi membantu mengatur pasaran dengan Rakan Pemasar FAMA di RTC dan premis FAMA di Kelantan selain membuat lawatan terus di ladang.


"Selain itu, FAMA turut menawarkan jualan secara promosi terus dari ladang di lot RTC Kelantan bagi mendapat pulangan yang lebih baik.


"Petani yang memerlukan khidmat pemasaran dari FAMA boleh menghubungi terus Pejabat FAMA berdekatan atau Bilik Gerakan FAMA Negeri Kelantan di talian 012-3684203 atau 012-3680125," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

Post a Comment

0 Comments