Ticker

6/recent/ticker-posts

Bekas pemain bola sepak mahu jamin wanita 'ambil duit' tabung masjid

 


Seorang bekas pemain bola sepak Kedah ketika era 80-an menyatakan hasrat untuk menjamin wanita yang didakwa di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mencuuri tabung Masjid Padang Pauh Padang Besar, Perlis.


Azmi Mat Napiah, 60, dari Jitra, Kubang Pasu, berkata, dia tersentuh membaca berita tentang wanita tersebut yang kini ditahan di lokap Penjara Pokok Sena di sini, selepas gagal membayar wang jaminan RM2,000 yang ditetapkan maahkamah.


“Saya tersentuh dan terasa sedih sangat-sangat apabila baca berita ini terutama memikirkan tentang anaknya yang masih kecil. 


“Saya cuba mengesan keluarganya di Perlis kerana saya mendapat maklumat itu saja cara saya boleh menjaminnya iaitu melalui keluarganya.


“Saya sendiri tak pasti tentang prosedurnya, kalau boleh jamin terus lagi baik,” katanya di sini hari ini.


Akhbar melaporkan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar semalam atas tuduhan mencuri tabung di sebuah masjid di Padang Pauh pada Sabtu lalu.


Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, yang bekerja sebagai tukang cuci membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.


Azmi yang juga Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka Kubang Pasu (Pewaris) berkata, Nor Amira baru seusia dengan anak sulungnya dan perkara itu meruntun jiwanya terutama memikirkan kesempitan hidup wanita itu sehingga sanggup melakukan jenayah tersebut.


“Kita tak tau apa masalahnya sebenarnya. Kita dengar cakap orang sahaja. Saya pun bukan kaya sangat gaji kecil sahaja kerana saya cuma bekas kerani. 


“Tetapi sebagai saudara seislam saya rasakan tidak boleh diam sahaja. Saya percaya Allah sedang uji kita bukan dia. Saya fikir macam mana manusia apatah lagi seorang perempuan sanggup curi tabung masjid.


“Mungkin dia bersalah tetapi kita tak boleh salahkan dia 100 peratus,” katanya.



Ditanya tentang tindakannya yang mungkin mengundang kecaman terutama daripada warga net, kata Azmi, dia mempercayai niat dan usahanya membantu wanita berkenaan adalah keikhlasan yang tidak boleh diperkotak-katikkan dengan penilaian manusia.


“Saya tahu itu (kecaman) pasti ada tetapi tak apalah itu antara saya dengan Tuhan, saya serah pada Allah. Saya bantu dia bukan bererti saya sokong apa yang dia lakukan.


“Kalau dia didapati bersalah maka dia akan terima hukuuman. Tetapi hak dia juga untuk dijamin keluar kerana ada anak kecil perlukan dia tetapi dia tak mampu jadi saya nak bantu. Itu sahaja niat saya,” katanya.


Sumber  – UTUSAN ONLINE 

Post a Comment

0 Comments