Ticker

6/recent/ticker-posts

Harap belum terlambat untuk saya belajar al-Quran, kata Shuib

 


Pemergian isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 9 Ogos lalu menjadi asbab untuk pelawak dan pelakon popular, Shuib, 37, mendalami dan memperbetulkan bacaan al-Quran.


Shuib berkata, dia boleh membaca al-Quran walaupun 'merangkak'. Namun, pemergian isterinya membuatkan dia lebih teliti dalam pembacaan al-Quran terutama selepas sesi bacaan Yassin secara virtual selepas pengebumian Siti Sarah.


"Hari pertama baca Yassin secara beramai-ramai dan selepas sesi Zoom itu, saya cuba baca sendiri. Ia ambil masa dekat dua jam nak habis.


"Saya rasa macam...ya Allah daifnya, b0dohnya kau Shuib. Sampai saya lenguh-lenguh pinggang. Jadi saya cakap pada diri kena buat sesuatu. Kena merdekakan diri daripada buta al-Quran," katanya menerusi forum bertajuk Kemerdekaan Satu Penghijrahan anjuran Masjid Puncak Alam yang berlangsung di Facebook, baru-baru ini.



Forum sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 itu disertai pendakwah terkenal Ustaz Haslin Baharim, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Johari Abdul Wahab.


Shuib berkata, dia tidak kisah dan tak malu untuk belajar al-Quran semula dari bawah asalkan dapat memperbaiki kelemahannya.


"Saya nak belajar al-Quran sehingga cari semula buku Iqra. Saya nak kembalikan zaman kanak-kanak saya mengaji dan belajar Iqra.


"Saya harap masih belum terlambat, saya kena buat 'u-turn'. Saya kena betul-betul pandai baca al-Quran," katanya yang sudah memulakan kelas secara dalam talian bersama Ustaz Tarmizi.


Shuib berkata, jika ada rezeki dia mahu menjadi seperti Ustaz Tarmizi.



"Ya Allah, sebab kalau bab nyanyian tahu pula saya nak menyanyi sedap-sedap. Buat Sepahtu Reunion tahu pula menyanyi mendayu-dayu.


"Kalau dulu menyanyi lagu duet dengan arwah isteri, buat 'rehearsal' betul-betul bagai nak rak. Tapi apabila mengaji, tak reti. Rasa teruk sangat," katanya.


Shuib bukan saja mahu mencari kesempurnaan untuk dirinya saja, sebaliknya akan cuba mendidik anak-anaknya agar celik al-Quran.


"Saya harap boleh istiqamah dengan anak-anak. Sebelum ini saya tak pernah cakap pun dengan mereka. Saya panggil mereka duduk depan saya. Saya tanya apa cita-cita mereka. Saya kata tak kisah apapun cita-cita mereka asalkan pegangan kita ialah al-Quran. Itu yang akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat," katanya.

Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments