Ticker

6/recent/ticker-posts

Selain beras kita beli, awasi isteri dan anak jaga aurat, kata PU Riz

 


Penceramah bebas dan pelakon, Haris Ismail, berkongsi pandangan bahawa setiap lelaki yang mempunyai isteri dan anak-anak harus menitikberatkan aspek batas pergaulan dan aurat agar tidak tergolong dalam kelompok lelaki dayus.


Menerusi satu hantaran dalam Instagramnya semalam, suami selebriti dan usahawan terkenal tanah air, Noor Neelofa ini, memberi teguran tersebut dalam memberi kesedaran bahawa lelaki harus memikul tanggungjawab dengan sempurna.


“Jangan dibiasakan pasangan kita berada mesra dengan wanita atau lelaki lain kerana ini adalah dilarang dalam Islam. Hari ini apa yang berlaku sebenarnya memang parah dalam masyarakat kita. Yang dikatakan lakonan sampai cium pun tak apa, boleh diterima. Tapi apa kata agama?


“Jangan disalahkan perkahwinan atau apa-apa yang dibuat tak ikut cara Nabi SAW. Nabi pesan kepada suami terutamanya, tidak masuk syurga orang lelaki yang dayus,”katanya.



Selain itu, kata Haris, teguran itu dibuat memandangkan suami memegang tanggungjawab untuk memimpin isteri dan anak-anak sebagai sebuah keluarga.


“Selain daripada beras kita beli, tersangat penting kita ini untuk menjaga ahli keluarga kita yang mana di bawah tanggungjawab kita, ahliyah kita, ister, anak-anak. Pesan mereka untuk sentiasa menjaga aurat mereka.


“Jaga pergaulan mereka, kerana ada tuntutan agama di situ. Jangan jadi lelaki dayus buat tak tahu bila isteri pakai baju nampak dada, anak-anak pakai ketat-ketat. Jika tidak ditegur, di akhirat kelak, bapa akan dipersoalkan kelak,”katanya.


Dalam pada itu, Haris juga meminta agar setiap individu mula mengubah cara berfikir bagi mengelakkan kemungkaran terus berlaku.



“Ubah cara berfikir. Jangan hanya kerana kita kata ‘Oh itu berlakon saja, tak apa. Jika hari ini depan mata kita orang buat kemungkaran dan berkata tak apa, dan kita kata itu berlakon saja, adakah boleh diterima alasan itu? Mestilah tidak.


“Jangan biasakan mengiyakan orang berbuat dosa, takut kita tersangkut sekali,”katanya.


Hantaran Haris itu setakat ini dilihat mendapat ramai tanda setuju dan menerima komen daripada pengikut dan peminatnya.

Sumber : Utusan Online

Post a Comment

0 Comments