Header Ads

LightBlog

Breaking

Friday, December 24, 2021

Menteri kabinet diarah batal cuti, pulang ke Malaysia segera, kata Ismail Sabri

 


Menteri kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana menteri yang sedang berada di luar negara, juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.


“Saya dapat banyak soalan mengenai menteri-menteri kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing. Mana yang ada di luar negara balik segera,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, di sini pada Jumaat.


Menurut Ismail Sabri, beliau juga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand yang sepatutnya diadakan pada 28 hingga 30 Disember bagi memberi tumpuan kepada isu banjir yang melanda rakyat ketika ini.


Beliau berkata, perbincangan urusan dua hala antara Malaysia dan Thailand itu akan dibawa ke tarikh lain yang akan diumumkan kelak.


Pada sidang akhbar itu, Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan pengurusan bencana kerajaan negeri Pahang dan majlis daerah dalam mengendalikan urusan banjir di negeri itu.


Dalam pada itu, beliau menghargai sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang menyumbang RM75.8 juta sehingga hari ini.



Katanya, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga telah menyumbang RM5 juta bagi membantu maangsa banjir.


“Sekarang bukan lagi beli makanan tetapi keperluan rumah dan duit ini akan digunakan untuk bantu maangsa banjir bila mereka pulang ke rumah masing-masing kelak.


“Anggota keselamatan negara juga diminta memberi tumpuan untuk membantu kerja-kerja pembersihan rumah rakyat apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas ini,” katanya. - Bernama

Artikel dari : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.