Header Ads

Breaking

Saturday, December 11, 2021

Penjawat awam dapat diskaun percutian hingga 70 peratus

 


Penafian : Gambar yang digunakan hanyalah sekadar hiasan semata-mata

Pengunjung Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) terutamanya penjawat awam dan pesara berpeluang untuk mendapatkan tawaran diskaun percutian sehingga 70 peratus menerusi pakej percutian penjawat awam.


Penolong Pengarah, Bahagian Acara dan Domestik Tourisme Malaysia, Muhammad Nasir Pahmi berkata, pakej itu boleh didapati di ruang pameran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


Menurutnya, tawaran tersebut melibatkan destinasi dalam negara sahaja dan syarikat serta agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.



Selain mendapatkan pakej itu di ruang pameran MOTAC, penjawat awam boleh mendapatkan tawaran menarik ini menerusi laman web www.malaysia.travel.


“Tujuan utama kami menawarkan pakej ini adalah untuk menghidupkan semula industri pelancongan negara yang rata-ratanya terjejas akibat C0vid-19,” katanya kepada Kosmo!.


Muhammad Nasir memberitahu, pakej tersebut juga telah mendapat kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan seperti Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM).


Katanya, pakej berkenaan sah sehingga Jun tahun hadapan dan semua yang menyertai pakej tersebut perlu mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


“Antaranya, hanya mereka yang telah lengkap dua dos vaksin dibenarkan menyertai pakej ini. Mereka boleh membawa kereta sendiri, sewa atau melalui agensi pelancongan.



“Bagi yang menggunakan agensi pelancongan, mereka disarankan menggunakan agensi yang berlesen bagi mengelakkan penipuan,” ujarnya.


Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, sebanyak 457 pakej dibangunkan membabitkan produk pelancongan di seluruh negara.


Antara lokasi itu ialah Putrajaya, I-City Shah Alam, Genting Highlands, Sky Bridge KLCC, Sky Mirror Kuala Selangor, Taman Negara Endau Rompin, Taman Negara Mulu, Royal Belum, Kilim Geoforest Park, Danum Valley, Wakaf Che Yeh dan Taman Tamadun Islam.


Maklumat lanjut mengenai pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan melayari laman web Tourism Malaysia di https://deals.malaysia.travel/deals. 


Sumber : -K! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.