Ticker

6/recent/ticker-posts

Walau memiliki pakej lengkap, Hariz tetap atur langkah awal

 


BERBEKALKAN wajah tampan tanpa bakat bukanlah tiket untuk mengecap kemasyhuran.

Namun, bagi pendatang baharu yang juga anak kelahiran Johor Bahru, Hariz Danial, dia boleh dikatakan memiliki pakej lengkap.

Hariz kini memulakan langkah pertamanya bertapak dalam industri muzik tempatan. Berada di bawah naungan syarikat rakaman Armani Entertainment Group (AEG), Hariz tampil dengan single pertamanya berjudul Hukum.

Mendapat sentuhan komposer, Sirkhan Danial dan Ibnu Rinkarnaen serta diterbitkan sepenuhnya AEG, dia sangat berbesar hati mendapat peluang yang dikira sangat keemasan itu.

"Syukur kerana peluang menghasilkan single ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka. Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan menyanyikan lagu ciptaan komposer hebat seperti Sirkhan Danial dan juga Ibnu Rinkarnaen.

"Terima kasih kepada AEG kerana sudi melamar saya menjadi artis naungan mereka terutamanya Datuk KK Chua yang nampak dan juga percaya dengan bakat yang saya miliki," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, UiTM Bandaraya Melaka itu.



Siapa sangka jejaka berwajah keanak-anakan ini sudah pun berusia 27 tahun. Bagaimanapun sebenarnya perjalanan seninya bermula ketika dia masih lagi bergelar siswazah sepenuh masa.

Penyertaan dalam rancangan I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga (ICSYVM3) menjadi pemula langkahnya terjun ke arus perdana. Tapi, tuah menerpanya ketika hadir ke uji bakat AEG.

"Ketika menuntut di universiti, saya sudah pun aktif menyanyi atas undangan acara kecil-kecilan seperti majlis perkahwinan, makan malam dan pesta graduasi. Mulanya sebagai hobi kemudiannya bertukar menjadi pendapatan sampingan ketika masih belajar.

"Saya mula serius apabila menyertai program ICSYVM3 dengan menjadi pemenang mingguan sehinggalah saya dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Bukan itu saja, saya pernah menjadi satu daripada peserta program Vokal Mania TV3.

"Apabila pihak AEG mengadakan uji bakat di Johor Bahru, saya mencuba nasib dan rezeki menyebelahi saya apabila ditawarkan menjadi satu daripada bakat naungan di bawah label mereka," katanya.

Berkongsi mengenai single Hukum, Hariz berkata, lagu terbabit berkisar perhubungan sepasang kekasih yang tiada persefahaman dan tidak sehaluan.



Berentak balada pop moden dengan sedikit elemen rock, ia mampu menjentik emosi.

"Segala pengorbanan dan curahan kasih sayang seakan tidak bererti kerana apa yang dimahukan kadang kala tidak menjadi dan masing-masing harus akur dengan ketentuan-Nya.

"Proses rakaman memakan masa selama tiga hari kerana saya perlu mempersiapkan emosi serta vokal. Ia perlu benar-benar mampu meresap jauh ke dalam jiwa apabila dinyanyikan dan telinga pendengar," katanya.

Hariz berkata, muzik video (MV) Hukum turut tampilkan metafora mendalam melalui teknik artistik ditonjolkan. Dia sendiri memainkan watak teman lelaki yang seakan merangkak ke hadapan dan belakang.

"Ia menunjukkan betapa peritnya untuk melepaskan seseorang yang kita sayangi lebih dari diri sendiri. Kalau hendak tahu lebih lanjut, wajib menontonnya di YouTube nanti," katanya.

"Harapan saya agar lagu ini diterima oleh semua pendengar dan mendapat sokongan ramai. Selain itu, agar ia mampu berada di peringkat yang lebih tinggi, dan maksudnya dapat diselami," katanya.

Sumber : Harian Metro

Post a Comment

0 Comments